Pusat konvensyen menjadi gelap, dan ribuan mahasiswa menundukkan kepala ketika penceramah memimpin kami dalam doa komitmen. Semasa dia mengalu-alukan mereka yang berdiri kerana berasa terpanggil untuk melayani dalam misi di seberang laut, saya dapat merasakan rakan saya, Lynette meninggalkan tempat duduknya dan mengabdikan diri untuk menetap dan melayani di Filipina. Bagaimanapun, saya tidak terdorong untuk berdiri. Oleh sebab keperluan yang ada di Amerika Syarikat, saya mahu berkongsi kasih Tuhan di tanah air saya. Akan tetapi, sepuluh tahun kemudian Britain menjadi kampung halaman saya dan saya berusaha melayani Tuhan dalam kalangan orang yang diberikan-Nya sebagai jiran tetangga saya. Fikiran saya tentang bagaimana saya akan menjalani hidup berubah apabila menyedari Tuhan mengajak saya melakukan pengembaraan yang berbeza daripada apa yang saya jangka.
Yesus sering memberi kejutan kepada orang yang ditemui-Nya, termasuk para nelayan yang dipanggil-Nya untuk mengikut-Nya. Apabila Kristus memberi mereka misi baharu untuk menjadi penjala manusia, Petrus dan Andreas dengan “serta-merta” meninggalkan jala mereka dan mengikut Dia (MATIUS 4:20). “Seketika itu juga” Yakobus dan Yohanes meninggalkan perahu mereka (AYAT 22). Mereka memulakan pengembaraan baharu ini bersama Yesus dengan mempercayai-Nya biarpun tidak tahu ke mana hala tuju mereka.
Tuhan sudah tentu memanggil ramai orang untuk melayani-Nya di mana sahaja mereka berada! Sama ada tetap tinggal di tempat tertentu atau berpindah, berharaplah kepada-Nya. Dia akan memberi kejutan dengan pengalaman dan peluang yang indah dalam kehidupan kita demi kemuliaan-Nya, dengan cara yang tidak pernah kita impikan.