Udara berbau kulit dan oat ketika kami berdiri di kandang kuda sementara sahabat saya Michelle mengajar anak perempuan saya menunggang kuda. Kuda padi Michelle yang berwarna putih itu membuka mulutnya ketika Michelle menunjukkan cara meletakkan kekang di belakang giginya. Semasa Michelle menarik kekang ke atas telinganya, dia menjelaskan bahawa kekang itu penting kerana ia membolehkan penunggang memperlahankan kuda dan mengendalikannya ke kiri atau ke kanan.

Kekang kuda, seperti lidah manusia, adalah kecil tetapi penting. Kedua-duanya mempunyai pengaruh yang besar terhadap sesuatu yang besar dan berkuasa—kekang terhadap kuda dan lidah terhadap tutur kata kita (YAKOBUS 3:3, 5).

Tutur kata kita mungkin diucapkan dengan tujuan yang berbeza. “Kita menggunakan lidah untuk memuji Tuhan dan Bapa kita, tetapi juga untuk mengutuk sesama manusia” (AYAT 9). Sayang sekali, Alkitab memberikan amaran bahawa sangat sukar untuk mengawal percakapan kita, ini kerana apa yang diluahkan mulut kita sebenarnya meluap daripada hati kita (LUKAS 6:45). Syukurlah, Roh Tuhan yang mendiami setiap orang percaya, menolong kita untuk bertumbuh dalam kesabaran, kebaikan dan penguasaan diri (GALATIA 5:22-23). Apabila kita bekerjasama dengan Roh Tuhan, hati kita diubah demikian juga tutur kata kita. Kata-kata cabul bertukar menjadi pujian. Pembohongan diganti dengan kebenaran. Kritikan berubah menjadi dorongan.

Menjinakkan lidah bukan sekadar melatih diri kita untuk mengatakan perkara yang betul. Ia berupa menerima bimbingan Roh Kudus supaya tutur kata kita menghasilkan kebaikan dan dorongan yang diperlukan oleh dunia.