Pada setiap musim panas ketika masih kecil, saya membuat perjalanan kira-kira sejauh tiga ratus kilometer untuk menziarahi datuk dan nenek saya selama seminggu. Saya tidak sedar sehinggalah pada kemudian hari betapa banyak hikmah yang telah saya serap daripada kedua orang kesayangan itu. Pengalaman hidup mereka dan keakraban mereka dengan Tuhan telah memberi mereka perspektif yang belum dapat dibayangkan oleh minda muda saya. Perbualan dengan mereka tentang kesetiaan Tuhan meyakinkan saya bahawa Tuhan boleh dipercayai dan Dia menepati setiap janji-Nya.

Maria, ibu Yesus, masih seorang remaja semasa dikunjungi malaikat Tuhan. Berita menakjubkan yang dibawa oleh Gabriel pasti amat merunsingkan, namun dia rela hati menerima tugas itu dengan penuh rahmat (LUKAS 1:38). Akan tetapi, mungkin lawatannya kepada saudaranya Elisabet yang sudah berumur—yang juga sedang hamil secara ajaib (beberapa orang cendekiawan percaya bahawa Elisabet mungkin berusia enam puluh tahun)—menghiburkannya apabila Elisabet bersemangat sekali mengesahkan kata-kata Gabriel bahawa dialah ibu kepada Mesias yang dijanjikan (AYAT 39-45).

Apabila kita bertumbuh matang dalam Kristus, seperti datuk dan nenek saya, kita akan sedar bahawa Tuhan menunaikan janji-janji-Nya. Dia menunaikan janji-Nya tentang seorang anak untuk Elisabet dan suaminya, Zakharia (AYAT 57-58). Anak lelaki itu, iaitu Yohanes Pembaptis, menjadi tanda tertunainya janji yang dibuat beratus-ratus tahun sebelumnya—satu janji yang akan mengubah haluan masa hadapan umat manusia. Mesias yang dijanjikan—Penyelamat dunia—akan datang! (MATIUS 1:21-23).