Menjelang Paskah tahun 2018, seorang pengganas memasuki sebuah pasar lalu membunuh dua orang dan menjadikan wanita ketiga sebagai tebusan. Apabila usaha untuk membebaskan wanita itu gagal, seorang anggota polis membuat tawaran kepada pengganas itu: melepaskan wanita itu dan dia menggantikannya sebagai tebusan.

Tawaran itu mengejutkan kerana ini bertentangan dengan kebijaksanaan umum. Kita sering dapat mengetahui “kebijaksanaan” suatu budaya melalui ungkapan-ungkapan yang disanjungnya, seperti petikan selebriti yang dipos dalam media sosial. “Pengembaraan terbesar yang dapat anda lakukan adalah menjalani kehidupan yang anda impikan,” menurut satu petikan popular. “Sayangi diri anda dahulu dan segala yang lain akan menurut yang sewajarnya,” sebut yang lain. “Lakukan apa yang perlu anda lakukan demi diri anda,” sebut yang ketiga. Sekiranya pegawai polis itu mengikut nasihat sedemikian, dia akan mementingkan diri sendiri dan cabut lari.

Rasul Yakobus berkata bahawa terdapat dua jenis kebijaksanaan di dunia: satu “duniawi” dan satu lagi “syurgawi”. Yang pertama ditandai oleh cita-cita mementingkan diri sendiri dan kekacauan (YAKOBUS 3:14-16); sementara yang kedua ditandai oleh sikap rendah hati, lemah lembut dan kedamaian (AYAT 13, 17-18). Kebijaksanaan duniawi mengutamakan diri sendiri. Kebijaksanaan syurgawi lebih mementingkan orang lain sehingga menghasilkan kebajikan yang diamalkan dengan rendah hati sepanjang hidup (AYAT 13).

Pengganas menerima tawaran pegawai polis itu. Tebusan dibebaskan, tetapi anggota polis itu ditembak, dan pada perayaan Paskah tahun itu dunia menyaksikan seorang lelaki yang tidak bersalah berkorban untuk seorang yang lain.

Kebijaksanaan syurgawi menghasilkan kebajikan yang diamalkan dengan rendah hati kerana Tuhan lebih diutamakan daripada diri sendiri (AMSAL 9:10). Kebijaksanaan yang manakah anda ikut pada hari ini?