Ketika beribu-ribu orang wanita dan kanak-kanak Ukraine tiba di stesen kereta api Berlin kerana melarikan diri daripada perang, mereka disambut dengan kejutan—beberapa keluarga Jerman memegang papan tanda buatan sendiri untuk menawarkan perlindungan di rumah mereka. Papan tanda tersebut tertulis: “Boleh terima dua orang!” “Ada bilik besar”. Apabila ditanya sebabnya dia menawarkan layanan baik seperti itu kepada orang yang tidak dikenali, seorang wanita berkata bahawa dahulu ibunya memerlukan perlindungan semasa melarikan diri daripada pihak Nazi, maka dia juga mahu membantu orang lain yang ada keperluan sedemikian.
Dalam kitab Ulangan, Tuhan menggesa orang Israel menjaga mereka yang berada jauh dari tanah air mereka. Mengapa? Ini kerana “Dia membela hak anak yatim dan balu. Dia mengasihi kaum pendatang” (10:18). Selain itu, orang Israel juga pernah mengalami situasi sedemikian: “kerana kamu pun pernah menjadi pendatang di Tanah Mesir” (AYAT 19). Empati memotivasikan mereka menghulurkan penjagaan.
Apabila balu di Sarfat menyambut Elia, iaitu seorang pendatang ke rumahnya, dia telah diberkati (1 RAJA-RAJA 17:9-24), seperti Abraham diberkati oleh tiga orang tetamu asing (KEJADIAN 18:1-15). Tuhan sering menggunakan layanan baik untuk memberkati tuan rumah, bukan hanya tetamunya.
Menyambut orang yang tidak dikenali ke rumah anda bukan mudah, tetapi para keluarga Jerman itu mungkin menjadi penerima berkat sebenar. Apabila kita melayani mereka yang lemah dengan empati Tuhan, kita mungkin akan terkejut dengan anugerah yang diberikan-Nya kepada kita melalui mereka.