Semasa saya masih kecil, laman sekolah menjadi tempat pembuli berlagak kasar dan kanak-kanak seperti saya dibuli oleh mereka tanpa sedikit bantahan pun. Semasa kami meromok ketakutan di hadapan penyeksa kami, apa yang paling teruk ialah cemuhan mereka, “Takut tak? Kamu takut pada saya kan? Tiada sesiapa di sini akan melindungi kamu.”
Sebenarnya, kebanyakan masa itu saya sangat ketakutan tetapi dengan alasan yang baik. Saya pernah ditumbuk pada masa lalu, maka saya tidak mahu mengalaminya lagi. Jadi, apakah yang dapat saya lakukan dan siapakah yang saya boleh harapkan apabila saya berasa takut lagi? Tambahan lagi apabila anda berumur lapan tahun dan dibuli oleh budak yang lebih tua, berbadan besar dan kuat, anda memang akan rasa takut.
Ketika pemazmur menghadapi serangan, dia bertindak balas dengan keyakinan dan bukannya ketakutan kerana dia tahu bahawa dia tidak menghadapi ancaman itu seorang diri. Dia menulis, “TUHAN memihak kepadaku; aku tidak akan takut. Apakah yang dapat dilakukan manusia kepadaku?”(MAZMUR 118:6). Sewaktu masih kecil, saya tidak pasti kalau saya dapat memahami tahap keyakinan pemazmur tersebut. Bagaimanapun, sekarang sebagai orang dewasa, saya sudah belajar daripada pengalaman bertahun-tahun berjalan dengan Kristus bahawa Dia lebih berkuasa daripada apa pun ancaman yang menimbulkan ketakutan.
Ancaman yang kita hadapi dalam kehidupan adalah nyata. Bagaimanapun, kita tidak perlu takut. Pencipta alam semesta ada bersama kita.