Beberapa minggu selepas kematian sahabat saya, saya pergi bertemu dengan ibunya. Saya berasa serba salah untuk bertanya bagaimana keadaannya kerana masa itu dia masih sedang bersedih. Namun saya bertanya juga. Dia menjawab: “Saya pilih untuk berasa gembira.”

Kata-katanya telah menyentuh hati saya pada hari itu ketika saya berjuang untuk mengatasi beberapa keadaan yang tidak menyenangkan dalam kehidupan saya sendiri. Kata-katanya juga mengingatkan saya tentang perintah Musa kepada orang Israel dalam pengakhiran kitab Ulangan. Sebelum Musa meninggal dan sebelum orang Israel masuk ke Tanah yang Dijanjikan, Tuhan ingin mereka mengetahui bahawa mereka mempunyai pilihan. Musa berkata, “Aku telah menghadapkan kepadamu kehidupan dan kematian, …. Pilihlah kehidupan” (ULANGAN 30:19). Mereka boleh memilih hukum-hukum Tuhan dan hidup dengan baik, atau berpaling daripada Tuhan dan hidup dengan akibatnya, iaitu “kematian dan kesusahan” (ayat 15).

Kita harus memilih cara untuk menjalani kehidupan kita. Adakah kita mahu memilih sukacita dengan mempercayai janji Tuhan untuk kehidupan kita, atau memilih untuk menumpukan perhatian kita kepada segala perkara negatif dan kesukaran dalam perjalanan hidup kita sehingga ia merampas sukacita kita. Kita perlu melatih diri serta perlu bergantung pada pertolongan Roh Kudus dalam hal ini. Oleh itu, kita boleh memilih sukacita keranakita tahu bahawa “dalam semua hal Allah bekerja untuk kebaikan orang yang mengasihi-Nya” (Roma 8:28).