Eric mendengar tentang kasih Yesus semasa dia berusia awal dua puluhan. Dia mula menghadiri gereja dan bertemu dengan seseorang yang membantu dia bertumbuh dalam pengetahuan tentang Kristus. Tidak lama kemudian, mentor Eric menugaskannya untuk mengajar sekumpulan kecil budak lelaki di gereja. Bertahun-tahun kemudian, Tuhan menaruh beban dalam hati Eric untuk membantu belia yang bermasalah di bandarnya, melawat rumah orang tua, dan menunjukkan keramahan kepada jiran-jirannya—segalanya adalah untuk kemuliaan Tuhan. Kini Eric berusia lewat lima puluhan, dia menjelaskan dia amat bersyukur kerana dia telah diajar sejak awal lagi untuk melayani: “Hati saya amat teruja untuk berkongsi harapan yang saya temui dalam Yesus, Apakah yang lebih baik daripada melayani-Nya?”

Timotius masih kecil apabila ibu dan neneknya memberi pengaruh yang besar dalam kepercayaannya (2 TIMOTIUS 1:5), dan dia mungkin seorang pemuda dewasa ketika dia bertemu dengan rasul Paulus, yang melihat potensi dalam pelayanan Timotius dan membawa dia menyertai satu misi pelayanan (Kisah Para Rasul 16:1-3). Paulus menjadi mentor Timotius dalam pelayanan dan kehidupannya. Paulus menggalakkan dia belajar, sentiasa berani apabila menghadapi ajaran sesat, dan menggunakan bakatnya untuk melayani Tuhan (1 TIMOTIUS 4:6-16).

Mengapakah Paulus ingin Timotius setia dalam melayani Tuhan? Paulus menyatakan, “Kita bekerja keras dan berjuang, kerana kita yakin kepada Allah yang hidup, Penyelamat semua manusia” (ayat 10). Yesus ialah harapan kita dan Penyelamat dunia. Apakah yang lebih baik daripada melayani-Nya?