Semasa wabak koronavirus melanda, ramai orang telah kehilangan orang tersayang. Pada 27 November 2020, keluarga kami telah melalui pengalaman yang sama apabila Bee Crowder, ibu saya yang berumur sembilan puluh lima tahun telah meninggal dunia—walaupun bukan disebabkan oleh COVID-19. Seperti kebanyakan keluarga lain, kami tidak dapat berkumpul dan berkabung untuk ibu, berkongsi tentang kehidupannya, atau mendorong satu sama lain. Sebaliknya, kami telah menggunakan cara lain untuk meraikan pengaruh ibu saya yang penuh kasih sayang—dan kami mendapat penghiburan melalui kata-katanya sebelum dia meninggal. Dia berkata, jika Tuhan memanggilnya pulang, dia sudah bersedia malah tidak sabar untuk pergi. Inilah harapan yang penuh keyakinan, yang nyata dibuktikan dalam kehidupan ibu saya, juga merupakan caranya untuk menghadapi kematian.

Ketika Paulus menghadapi ancaman kematian, dia menulis, “Kerana bagiku, hidup ialah Kristus, dan mati ialah keuntungan … Aku sukar memilih antara dua: Aku ingin pergi dan bersama dengan Kristus, itu jauh lebih baik, tetapi kerana kamu, aku berasa perlu terus hidup dari segi jasmani” (FILIPI 1:21, 23-24). Walaupun dengan keinginannya untuk kekal tinggal di bumi dan membantu orang lain, Paulus telah dibawa ke rumah syurgawinya bersama Kristus.

Keyakinan sedemikian akan mengubah cara kita melihat detik apabila kita melangkah daripada kehidupan ini kepada kehidupan yang seterusnya. Harapan kita boleh memberikan penghiburan kepada orang lain dalam waktu kedukaan mereka. Walaupun kita bersedih dengan kehilangan orang kesayangan kita, orang yang percaya kepada Yesus tidak akan bersedih seperti mereka yang “tidak mempunyai harapan” (1 TESALONIKA 4:13). Semua orang yang mengenal Yesus memiliki harapan yang sejati ini.