Bagi Brett, ini amat natural bagi dia menghadiri sebuah universiti Kristian dan mengkaji Alkitab. Lagipun dia dikelilingi oleh orang-orang yang mengenal Yesus seumur hidupnya—di rumah, sekolah dan gereja. Malah dia menumpukan pembelajarannya dalam “pekerjaan Kristian” di universiti sebagai matlamat kerjayanya.

Namun pada umur dua puluh satu tahun, semasa dia menghadiri ibadah di sebuah gereja lama yang terletak di luar bandar dan mendengar seorang pastor berkhutbah tentang kitab 1 Yohanes, Brett menemukan sesuatu yang mengejutkan. Dia menyedari bahawa dia amat bergantung pada pengetahuannya sendiri tentang agama dan tidak pernah benar-benar menerima keselamatan yang ditawarkan Yesus kepada semua orang. Dia berasa bahawa Kristus sedang menyentuh hatinya dengan mesej yang menyedihkan: “Kamu tidak mengenal Aku!”

Mesej rasul Yohanes adalah jelas: “Sesiapa percaya bahawa Yesus ialah Kristus, maka orang itu lahir daripada Allah” (1 YOHANES 5:1). Kita boleh “menewaskan dunia,” seperti yang dikatakan oleh Yohanes (1 YOHANES 5:4), hanya dengan percaya kepada Yesus. Bukan sekadar mempunyai pengetahuan tentang Dia, tetapi memiliki iman yang sungguh-sungguh dan dibuktikan oleh kepercayaan kita tentang apa yang telah dilakukan-Nya demi kita di kayu salib. Pada hari itu, Brett dengan sungguh-sungguh membuat keputusan untuk percaya kepada Kristus.

Hari ini, semua orang tahu kasih Brett yang mendalam terhadap Yesus dan keselamatan-Nya. Semangatnya yang mendalam itu disampaikannya dengan lantang dan jelas setiap kali dia berdiri dimimbar dan berkhutbah sebagai seorang pastor, yakni pastor saya .

“Allah memberi kita hidup yang kekal dan hidup ini ada di dalam Anak-Nya. Sesiapa yang memperoleh Anak itu, memperoleh hidup itu” (ayat 11-12). Bagi semua orang yang telah menemui kehidupan dalam Yesus, itulah peringatan yang amat menghiburkan!