Dalam bukunya yang agung, The Great Influenza, John M. Barry menceritakan tentang kisah wabak selesema pada tahun 1918. Barry menjelaskan bahawa para pegawai kesihatan bukannya terkejut tetapi sebenarnya telah menjangkakan cetusan wabak tersebut secara besar-besaran. Mereka khuatir disebabkan Perang Dunia I, ratusan ribu orang tentera yang bersesak-sesak dalam kubu parit dan bergerak merentasi sempadan akan mencetuskan virus yang baharu. Namun pengetahuan ini tidak berguna untuk menghentikan kemusnahan yang akan berlaku. Ini kerana para pemimpin yang berkuasa telah memukul gendang peperangan, dan menghantar askar bergegas ke arah keganasan dengan mencetuskan peperangan. Ahli-ahli epidemiologi menganggarkan seramai lima puluh juta orang maut akibat wabak tersebut, selain daripada kira-kira dua puluh juta orang yang terbunuh dalam peperangan tersebut.

Kita telah berulang kali terbukti bahawa pengetahuan manusia tidak pernah menyelamatkan manusia daripada kejahatan (AMSAL 4:14-16). Walaupun manusia telah berjaya mengumpul pengetahuan yang luas dan memberikan pandangan yang mengagumkan, kita masih tidak berupaya untuk menghentikan kesakitan yang kita timpakan kepada sesama. Kita tidak berupaya untuk menghentikan “jalan orang durjana”, haluan bebal dan berulang yang membawa “kegelapan yang pekat.” Meskipun dengan pengetahuan terbaik kita, kita benar-benar tidak tahu “apa yang membuat kita tersandung” (ayat 19).

Oleh itu, kita mesti “perolehlah hikmah, perolehlah pengertian” (ayat 5). Hikmat mengajar kita apa yang kita perlu lakukan dengan pengetahuan. Hikmat sejati yang amat kita perlukan adalah berasal daripada Tuhan. Pengetahuan kita sentiasa tidak mencukupi, tetapi hikmat-Nya menyediakan segala yang kita perlukan.