Pernahkah anda mendengar tentang “fesyen perlahan” (#slowfashion)? Hashtag (simbol “pagar” atau “#”) ini menggambarkan sebuah gerakan yang menolak “fesyen pantas”—sebuah industri yang dikuasai oleh produk pakaian yang dihasilkan dengan murah dan mudah dilupuskan. Dalam fesyen pantas, pakaian menjadi ketinggalan zaman sepantas ia berada di kedai pakaian. Akibatnya beberapa jenama melupuskan jumlah produk mereka yang besar setiap tahun.

Gerakan fesyen perlahan menggalakkan orang ramai memperlahankan cara perbelanjaan mereka dan mengambil pendekatan yang lain. “Fesyen perlahan” ini menggalakkan kita agar berhemah memilih dan mencari bahan-bahan secara beretika serta mempunyai kualiti yang tahan lama, bukannya sering mahukan penampilan yang terkini.

Apabila saya memikirkan gerakan fesyen perlahan, saya tertanya-tanya jika saya juga terjebak dalam pemikiran “fesyen pantas”—sentiasa mencari kepuasan dalam trend terkini. Namun dalam Kolose 3, Paulus mengatakan bahawa perubahan yang benar dalam Yesus bukanlah penyelesaian yang cepat atau satu trend, tetapi ia merupakan perubahan seumur hidup yang tenang dan beransur-ansur dalam Kristus.

Daripada mengenakan diri kita dengan segala simbol status terkini di dunia ini, lebih baik kita menggantikan keinginan kita dengan mengenakan “belas kasihan, baik budi, rendah hati, lemah lembut dan sabar” (ayat 12) yang disediakan oleh Roh Kudus. Kita boleh belajar tentang kesabaran antara satu sama lain dalam Kristus yang mengubah hati kita secara perlahan—sebuah perjalanan yang membawa kedamaian abadi (ayat 15).