“Kebanyakan orang mempunyai parut yang tidak dapat dilihat atau difahami oleh orang lain.” Kata-kata yang sangat jujur itu diucapkan oleh pemain Liga Utama Besbol, Andrelton Simmons, yang memilih berhenti bermain pada penghujung musim perlawanan 2020 kerana masalah kesihatan mental. Ketika merenung kembali keputusannya, Simmons berasa dia perlu berkongsi kisahnya untuk menggalakkan orang lain yang menghadapi cabaran serupa dan agar orang lain dapat membantu dengan menunjukkan simpati.

Parut yang tidak kelihatan ialah luka dan keperitan mendalam dan menyakitkan yang tidak dapat dilihat, tetapi masih menimbulkan rasa sakit dan penderitaan yang sangat nyata. Dalam Mazmur 6, Daud menulis tentang pergelutannya yang mendalam dengan mencatatkan kata-kata yang jujur dan apa adanya. Daud berasa “longlai” (ayat 2) dan “gundah-gulana” (ayat 3). Dia “letih lesu kerana mengerang”, dan tempat tidurnya dibanjiri air mata (ayat 6). Walaupun Daud tidak memberitahu kita punca penderitaannya, banyak daripada kita dapat memahami keperitannya.

Kita juga dapat dikuatkan oleh cara Daud bertindak balas terhadap keperitannya. Dalam penderitaannya yang tak tertahankan, Daud berseru kepada Tuhan. Dengan tulus dia mencurahkan isi hatinya, berdoa memohon diberikan kesembuhan (ayat 2), penyelamatan (ayat 4), dan belas kasihan (ayat 9). Walaupun pertanyaan “berapa lama?” (ayat 3) berlarutan dalam keadaannya, Daud tetap yakin bahawa “TUHAN telah mendengar jeritan[nya] memohon belas kasihan” (ayat 9) dan akan bertindak mengikut masa-Nya (ayat 10).

Harapan selalu ada apabila kita mengingat siapa Tuhan kita.