Saya memegang sebuah gambar yang menunjukkan beberapa orang yang sedang tidur di bawah kepingan kadbod di dalam sebuah lorong yang malap. “Apakah yang diperlukan mereka?” Saya bertanya kepada budak-budak darjah enam di Sekolah Minggu. “Makanan,” kata salah seorang budak. “Wang” seorang lagi menjawab. “Sebuah tempat yang selamat,” kata seorang budak lelaki selepas memikirkan soalan tersebut untuk seketika. Kemudian, seorang budak perempuan bersuara: “Harapan.”
“Harapan menjangkakan perkara yang baik akan berlaku,” jelasnya. Saya mendapati jawapannya menarik kerana dia bercakap tentang “menjangkakan” perkara yang baik, walaupun sukar untuk mengharapkan perkara yang baik akan berlaku disebabkan cabaran dalam kehidupan. Namun Alkitab mengatakan tentang harapan sebagaimana yang dikatakan oleh pelajar saya itu. Jika “iman adalah kepastian akan perkara-perkara yang diharapkan” (IBRANI 11:1), maka kita yang beriman kepada Yesus boleh mengharapkan perkara yang baik akan berlaku.
Apakah kebaikan paling penting yang boleh diharapkan oleh orang yang percaya kepada Kristus dengan penuh keyakinan?—“ janji untuk masuk ke dalam peristirahatan-Nya” (IBRANI 4:1). Bagi orang percaya, peristirahatan dalam Tuhan termasuklah kedamaian, keyakinan penyelamatan, kebergantungan pada kekuatan-Nya, dan jaminan tentang rumah syurgawi pada masa hadapan. Jaminan Tuhan dan keselamatan yang ditawarkan oleh Yesus ialah sebabnya harapan boleh menjadi sauh kita, memegang kita dengan erat sewaktu kita dalam keperluan (IBRANI 6:18-20). Dunia memerlukan harapan, sesungguhnya: janji Tuhan itu adalah benar dan pasti dalam segala waktu dan keadaan, Dialah yang menentukan segala sesuatu dan tidak akan mengecewakan kita. Apabila kita percaya kepada-Nya, Dia akan memperbetulkan semua perkara untuk kita pada masa-Nya.