Pernahkah anda mendengar tentang Dewan Kemasyhuran Tukang Jahit (The Sewing Hall of Fame)? Ia ditubuhkan pada tahun 2001 dan mengiktiraf orang-orang yang telah memberikan “impak yang berkekalan terhadap industri jahitan rumah dengan sumbangan-sumbangan yang unik dan inovatif melalui pendidikan dan pembangunan produk jahitan.” Martha Pullen, merupakan salah seorang tokoh yang telah diabadikan dalam barisan tersebut pada tahun 2005. Martha digambarkan sebagai “seorang wanita yang disebutkan dalam Amsal 31… yang tidak pernah lupa untuk mengakui secara terbuka tentang dari mana asalnya kekuatan, ilham dan berkatnya.”

Dewan Kemasyhuran Tukang Jahit diwujudkan pada abad ke-21, tetapi sekiranya ia wujud pada abad pertama di Israel, seorang wanita yang bernama Tabita mungkin akan diabadikan dalam barisan tersebut. Tabita merupakan seorang yang percaya kepada Yesus dan seorang tukang jahit yang menghabiskan masa menjahit untuk para balu yang miskin dalam komunitinya (KISAH PARA RASUL 9:36, 39). Selepas dia jatuh sakit dan meninggal dunia, para pengikut Yesus menghantar Petrus untuk melihat sama ada Tuhan akan melakukan mukjizat melaluinya. Apabila Petrus tiba di sana, balu-balu yang sedang menangis menunjukkan kepadanya jubah dan pakaian yang telah dijahit oleh Tabita untuk mereka (ayat 39). Semua pakaian itu ialah bukti bahawa Tabita “sentiasa membuat kebajikan” untuk golongan miskin dalam komunitinya (ayat 36). Dengan kuasa Tuhan, Tabita dihidupkan semula.

Tuhan memanggil dan melengkapkan kita untuk menggunakan kemahiran kita untuk memenuhi keperluan yang ada dalam komuniti kita dan dunia ini. Marilah kita menggunakan kemahiran kita untuk melayani Yesus, dan lihat bagaimana Dia akan menggunakan tindakan kita yang penuh kasih untuk saling membantu, sehingga seluruh tubuh Kristus mengalami kesatuan dalam hati dan kehidupan (EFESUS 4:16).