Pernahkah anda melihat barang-barang murah yang dilelongkan dan berharap akan menemui sesuatu yang amat berharga? Itulah yang terjadi di Connecticut apabila sebuah mangkuk Cina antik bercorak bunga yang dibeli dengan harga hanya 35 dolar Amerika telah dijual di sebuah jualan lelong pada tahun 2021 dengan harga lebih daripada 700,000 dolar Amerika. Mangkuk tersebut yang berasal dari abad kelima belas ternyata merupakan artifak yang jarang ditemui. Kejadian ini merupakan suatu peringatan bahawa benda yang mungkin dianggap tidak bernilai oleh sesetengah orang sebenarnya mempunyai nilai yang amat berharga.
Sewaktu menulis kepada orang percaya yang tersebar di seluruh dunia, Petrus menjelaskan bahawa iman mereka kepada Yesus merupakan kepercayaan yang ditolak oleh kebanyakan budaya, dihina oleh kebanyakan pemimpin agama bahkan disalib oleh Kerajaan Roma, Kristus dianggap tidak bernilai kerana Dia tidak memenuhi jangkaan dan keinginan mereka. Tetapi walaupun mereka telah memperkecilkan nilai Yesus, Dia telah “dipilih oleh Allah dan berharga di hadirat-Nya” (1 PETRUS 2:4). Nilai-Nya kepada kita adalah jauh lebih berharga daripada perak dan emas (1 PETRUS 1:18-19) dan kita mempunyai keyakinan bahawa sesiapa yang memilih untuk percaya kepada Yesus tidak akan malu dengan pilihan mereka (2:6).
Apabila Yesus dianggap tidak bernilai, marilah kita memikirkan perkara ini sekali lagi. Roh Tuhan menolong kita melihat kurniaan yang tidak ternilai harganya, iaitu Kristus, yang menawarkan jemputan yang tidak ternilai harganya kepada semua orang untuk menjadi anak Tuhan (ayat 10).