Pada usia dua belas tahun, Ibrahim tiba di Itali dari Afrika Barat. Dia tidak tahu sepatah pun bahasa Itali, gagap bila bercakap, dan terpaksa menghadapi penindasan daripada golongan anti pendatang. Namun semua itu tidak menghalang anak muda itu bekerja keras dan pada usia dua puluhan, dia membuka sebuah kedai piza di Trento, Itali. Perniagaan kecilnya berjaya mengatasi keraguan orang sehingga disenaraikan sebagai salah satu lima puluh buah restoran piza terbaik di dunia.
Seterusnya Ibrahim berharap untuk memberi sumbangan dengan memberi makanan kepada kanak-kanak yang kelaparan di jalanan di Itali. Jadi dia melancarkan kempen “piza amal” dengan mengembangkan tradisi Neapolitan, bahawa para pelanggan boleh membelanjai mereka yang memerlukan dengan secawan kopi tambahan (caffè sospeso), yang kini ditambah dengan piza (pizza sospesa). Dia juga mendorong kanak-kanak pendatang supaya tidak menghiraukan prejudis orang lain dan tidak berputus asa.
Kegigihan seperti itu mengingatkan kita kepada pengajaran Paulus kepada jemaah di Galatia supaya terus berbuat baik kepada semua orang. “Janganlah kita jemu berbuat baik, kerana pada musimnya nanti kita akan menuai jika kita tidak berputus asa” (Galatia 6:9). Paulus meneruskan, “Oleh itu, apabila ada peluang, kita haruslah berbuat baik kepada semua orang, lebih-lebih lagi saudara-saudara kita yang seiman” (ayat 10).
Ibrahim, seorang pendatang yang menghadapi prejudis dan halangan bahasa, tetapi telah mencipta peluang untuk berbuat baik. Makanan menjadi “jambatan” yang membawa toleransi dan persefahaman. Dengan diilhamkan oleh ketekunan sedemikian, kita juga boleh mencari peluang untuk melakukan kebaikan. Tuhan pasti mendapat kemuliaan kerana Dia bekerja melalui usaha kita yang berterusan.