Semasa saya masih kecil dan tinggal di sebuah ladang di Tennessee, Amerika Syarikat, saya menghabiskan waktu petang yang sangat indah dengan rakan baik saya. Kami akan bersiar-siar di hutan, menunggang kuda kecil, melawat arena rodeo (sejenis sukan menunggang kuda liar), dan meneroka kandang untuk melihat para koboi melatih kuda. Tetapi setiap kali saya mendengar tiupan wisel ayah saya—bunyi yang jelas menembusi angin dan bunyi dentingan lain—saya akan segera melepaskan apa sahaja yang saya lakukan dan pulang ke rumah. Saya mengenal isyarat itu, dan saya tahu saya dipanggil oleh ayah saya. Beberapa dekad kemudian, saya masih mengenal bunyi wisel itu.
Yesus memberitahu murid-murid-Nya bahawa Dia ialah gembala, dan pengikut-pengikut-Nya ialah kawanan domba. Katanya, “Kawanan domba itu mendengar suara [gembala]. Dia memanggil nama setiap dombanya. Gembala itu pun memimpin domba-domba itu keluar” (Yohanes 10:3). Pada masa kini, ramai pemimpin dan guru agama cuba mengelirukan murid-murid Kristus dengan menggunakan kuasa mereka, namun Yesus berkata bahawa kita boleh mendengar suara-Nya yang penuh kasih dengan jelas, lebih jelas daripada yang lain. “Domba-domba mengikut [gembala] kerana mengenal suaranya” (ayat 4).
Semoga kita berjaga-jaga semasa kita mendengar suara Yesus dan jangan mengabaikannya dengan bodoh, kerana kebenaran asas tidak berubah: Gembala bercakap dengan jelas, dan domba-domba-Nya mendengar suara-Nya. Mungkin melalui suatu ayat dalam Kitab Suci, kata-kata seorang sahabat Kristian, atau dorongan Roh Kudus—Yesus bercakap, dan kita mendengar.