Perkara pertama yang saya perhatikan tentang bandar itu ialah pusat perjudiannya. Seterusnya, kedai ganja, kedai peralatan seks dan papan-papan iklan gergasi yang didirikan oleh peguam untuk mengaut keuntungan atas masalah orang. Walaupun saya pernah melawat banyak bandar maksiat sebelum ini, bandar ini nampaknya lebih teruk.
Namun perasaan saya menjadi ceria kembali ketika saya bercakap dengan seorang pemandu teksi pada keesokan harinya. “Saya memohon kepada Tuhan setiap hari supaya menghantar orang yang Dia mahu saya bantu,” katanya. “Orang ketagihan judi, pelacur, orang yang mengalami perpecahan rumah tangga memberitahu saya masalah mereka sambil menangis. Saya menghentikan kereta saya, mendengarkan mereka dan berdoa untuk mereka. Inilah pelayanan saya.”
Selepas menjelaskan bahawa Yesus datang ke dunia kita yang berdosa ini (Filipi 2:5-8), rasul Paulus memberikan panggilan ini kepada orang yang percaya kepada Kristus. Apabila kita mengejar kehendak Tuhan (ayat 13) dan berpegang pada “firman yang memberikan kehidupan”—injil (ayat 16)—kita akan menjadi “anak-anak Allah yang tidak bercela antara manusia. Dalam zaman yang penuh tipu daya dan perbuatan songsang, maka terserlahlah kamu seperti bintang dalam dunia” (ayat 15). Seperti pemandu teksi itu, kita akan membawa cahaya Yesus ke dalam kegelapan.
”Orang Kristian hanya perlu setia mengamalkan kehidupan iman, dan dunia ini akan diubah”, kata ahli sejarah Christopher Dawson, kerana kehidupan seperti itu “terkandung semua misteri dalam kehidupan orang Kristian.” Marilah kita meminta Roh Tuhan menguatkan kita untuk hidup dengan setia sebagai umat Yesus, yang menyinarkan cahaya-Nya di tempat yang paling gelap di dunia.