Pada tahun 2016, Wanda Dench menghantar teks untuk menjemput cucunya makan malam pada Hari Kesyukuran, tanpa mengetahui cucunya telah menukar nombor telefonnya. Teks itu sebaliknya dihantar kepada Jamal, seorang yang tidak dikenalinya. Jamal tidak mempunyai rancangan pada malam itu, jadi, selepas menjelaskan siapa dia, kemudian dia bertanya sama ada dia masih boleh datang untuk makan malam. Wanda berkata, “Sudah tentu boleh.” Jamal pun menyertai makan malam keluarga tersebut, dan sejak itu ini menjadi tradisi tahunan bagi Jamal. Jemputan yang “silap” menjadi berkat tahunan.

Kebaikan Wanda yang menjemput orang asing untuk makan malam mengingatkan saya tentang ajaran Yesus dalam Injil Lukas. Semasa majlis makan malam diadakan di rumah Farisi yang “terkemuka” (Lukas 14:1), Yesus memerhatikan siapa itu undangan dan bagaimana mereka berebut untuk mendapatkan tempat duduk yang terbaik (ayat 7). Yesus menasihati tuan rumah bahawa menjemput orang dengan harapan untuk mendapatkan balasan (ayat 12) hanya akan membawa berkat yang terhad. Sebaliknya, Yesus memberitahu tuan rumah bahawa memberikan layanan baik kepada orang yang tidak mampu membalasnya kembali akan membawa berkat yang lebih besar (ayat 14).

Bagi Wanda, menjemput Jamal untuk menyertai keluarganya makan malam pada Hari Kesyukuran telah menghasilkan berkat yang tidak disangka-sangka—dia memperoleh persahabatan yang berkekalan, malah menjadi dorongan yang besar bagi dia terutama selepas kematian suaminya. Apabila kita membantu orang lain bukan kerana ingin mengharapkan balasan, tetapi kerana kita ingin menyalurkan kasih Tuhan kepada orang lain, kita akan menerima berkat dan dorongan yang jauh lebih besar.