“Duri telah menusuk kaki kamu—itulah sebabnya kadang-kadang kamu menangis pada waktu malam,” tulis seorang salih, Katarina dari Siena (Catherine of Sienna) pada abad keempat belas. Dia meneruskan, “Ada orang-orang di dunia ini yang boleh mengeluarkannya. Mereka memperoleh kemahiran ini daripada [Tuhan].” Katarina menumpukan hidupnya untuk memupuk “kemahiran” itu dan dia masih diingati hingga hari ini kerana sikap empati dan belas kasihannya yang mendalam terhadap orang yang mengalami kesakitan.

Kesakitan bagaikan duri yang menusuk ke dalam daging, malah kelembutan dan kemahiran diperlukan untuk menyingkirkannya, gambaran ini berulang-ulang muncul dalam fikiran saya. Ini merupakan peringatan yang jelas tentang betapa kompleks dan terlukanya kita, dan kita amat perlu menggali lebih dalam untuk memiliki belas kasihan sejati terhadap orang lain dan diri kita sendiri.

Atau, seperti yang diterangkan oleh rasul Paulus, ia merupakan gambaran yang mengingatkan bahawa kita bukan hanya harus berniat baik dan mengambil berat terhadap orang lain ketika mengasihi mereka seperti Yesus, kita perlu “saling menghormati dan mengutamakan” (Roma 12:10), “bergembiralah dalam harapan, tabah menghadapi kesusahan, dan terus-menerus berdoa” (ayat 12). Kita perlu bersiap sedia bukan sahaja “bergembiralah dengan orang yang bergembira”, tetapi “menangislah dengan orang yang menangis” (ayat 15). Sifat ini menuntut kita menunjukkannya dengan seluruh jiwa kita.

Di dunia yang hancur ini, tiada sesiapa dapat terlepas daripada dilukai, kerana luka-luka dan parut tertanam dalam setiap kita. Namun kasih yang kita temui dalam Kristus lebih dalam lagi; kasih ini cukup lembut untuk mencabut duri-duri itu disertai dengan belas kasihan, yang bersedia untuk menerima kedua-dua kawan dan musuh (ayat 14) supaya mereka sama-sama mendapat kesembuhan.