Apabila ratu England, iaitu Ratu Elizabeth meninggal dunia pada bulan September 2022, beribu-ribu askar dikerahkan untuk berarak dalam acara perarakan pengebumian. Peranan setiap mereka hampir tidak kelihatan dalam kumpulan besar, tetapi ramai askar menganggap tugas ini sebagai penghormatan terbesar. Seorang askar berkata inilah “peluang untuk melakukan tugas terakhir kami untuk Baginda.” Baginya, bukan apa yang telah dilakukannya, tetapi untuk siapa yang menjadikan tugas itu penting.

Orang Lewi yang ditugaskan untuk menjaga peralatan Khemah Suci mempunyai tujuan yang sama. Tidak seperti para imam, orang Gerson, orang Kehat dan orang Merari diberi tugasan yang kelihatannya remeh. Tugas mereka termasuk membersihkan peralatan, kaki lampu, tirai, tiang, pasak khemah dan tali (Bilangan 3:25-26, 28, 31, 36-37). Namun pekerjaan mereka telah ditetapkan secara khusus oleh Tuhan, yakni “melaksanakan pekerjaan di Khemah Suci” (ayat 8), dan direkodkan dalam Alkitab untuk generasi-generasi seterusnya.

Pemikiran ini amat menggalakkan! Hari ini, apa yang kebanyakan kita lakukan di tempat kerja, di rumah, atau di gereja mungkin kelihatan tidak penting bagi dunia yang mengutamakan jawatan dan gaji. Namun Tuhan melihatnya secara berbeza. Jika kita bekerja dan melayani demi Dia, mencari kecemerlangan dan berbuat demikian untuk kemuliaan Tuhan, walaupun inilah tugas yang paling kecil, kerja kita adalah penting kerana kita sedang melayani Tuhan kita yang agung.