Saya memerlukan dua jenis ubat-ubatan dengan segera. Satu untuk alahan ibu saya dan satu lagi untuk ekzema anak saudara saya. Keadaan mereka semakin teruk, tetapi malangnya ubat-ubatan itu tidak boleh lagi didapati a di farmasi. Dengan terdesak dan tidak berdaya, saya berdoa berulang kali, Tuhan, tolonglah mereka.

Beberapa minggu kemudian, keadaan mereka beransur baik. Tuhan seolah-olah berkata: “Ada kalanya Aku menggunakan ubat-ubatan untuk menyembuhkan. Namun ubat-ubatan bukanlah jawapan terakhir, melainkan Aku. Jangan letakkan keyakinan pada ubat-ubatan, tetapi kepada Aku.”

Dalam Mazmur 20, Raja Daud mendapat penghiburan dalam kepercayaan kepada Tuhan. Orang Israel mempunyai tentera yang kuat, tetapi mereka tahu bahawa kekuatan terbesar mereka datang daripada “nama TUHAN” (ayat 7). Mereka menaruh keyakinan mereka dalam nama Tuhan—tentang siapa Dia, sifat-Nya yang tidak pernah berubah, dan janji-janji yang tidak pernah gagal. Mereka berpegang pada kebenaran bahawa Tuhan yang berdaulat dan berkuasa atas semua keadaan akan mendengar doa mereka dan membebaskan mereka daripada musuh mereka (ayat 6).

Walaupun Tuhan mungkin menggunakan sumber-sumber dalam dunia ini untuk menolong kita, pada akhirnya, kemenangan atas masalah kita datang daripada-Nya. Sama ada Dia memberi kita penyelesaian atau anugerah untuk bertahan, kita boleh yakin bahawa Dia adalah segala-galanya bagi kita seperti yang dikatakan-Nya. Kita tidak perlu tertekan oleh masalah kita, tetapi kita boleh menghadapinya dengan harapan dan kedamaian-Nya.