Dan Gill yang berumur sembilan tahun pergi bersama rakan baiknya Archie ke parti hari jadi rakan sekelas mereka. Apabila ibu kepada budak yang meraih hari jadi tersebut ternampak Archie, dia enggan membenarkannya masuk. “Kami tak ada cukup kerusi,” tegasnya. Dengan segera Dan berkata dia boleh duduk di atas lantai bagi memberi ruang kepada kawannya Archie yang berkulit hitam, tetapi ibu tersebut menolak. Dengan kecewa, Dan meninggalkan hadiah mereka kepada wanita itu dan pulang ke rumah bersama Archie. Penolakan terhadap kawannya telah menyakitkan hatinya.

Kini, beberapa dekad kemudian, Dan menjadi seorang guru yang selalu menyediakan sebuah kerusi kosong di dalam kelasnya. Apabila murid-murid bertanyakan sebabnya, dia menjelaskan bahawa ini ialah peringatan bagi dia, untuk “sentiasa menyediakan tempat duduk di dalam kelas untuk sesiapa sahaja.”

Hati untuk semua orang dapat dilihat dalam kehidupan Yesus yang menerima setiap orang: “Marilah ke sisi-Ku, wahai semua yang jerih lelah dan memikul beban berat; Aku akan memberimu kelegaan” (Matius 11:28). Jemputan ini mungkin kelihatan bercanggah dengan prinsip “orang Yahudi dahulu” dalam skop pelayanan Yesus (Roma 1:16). Namun hadiah keselamatan adalah untuk semua orang yang menaruh iman mereka kepada Yesus. Paulus menulis, “Hal ini berlaku kepada semua orang tanpa membezakan sesiapa pun” (Roma 3:22).

Itulah sebabnya kita boleh bergembira atas jemputan Kristus kepada semua orang: “Ambillah kuk daripada-Ku dan terimalah ajaran-Ku, kerana Aku ini lemah lembut dan rendah hati, maka jiwamu akan tenang” (Matius 11:29). Bagi semua orang yang ingin mendapatkan rehat di dalam-Nya, Dia sentiasa menyambut kita.