Apabila kita memikirkan tentang amalan perniagaan yang terbaik, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran mungkin bukan kualiti seperti kebaikan dan kemurahan hati. Tetapi menurut usahawan James Rhee, itulah amalan yang sepatutnya. Sepanjang masa Rhee menjawat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di sebuah syarikat yang hampir muflis, dia mengutamakan konsep “kebahagiaan” (goodwill)—satu “budaya kebaikan” dan semangat memberi yang telah membawa kemajuan dan menyelamatkan syarikat tersebut. Dengan mengutamakan kualiti ini, orang diberikan harapan dan motivasi untuk bersatu, berinovasi dan berupaya untuk menyelesaikan masalah. Rhee menjelaskan bahawa “kebahagiaan … adalah satu aset sebenar yang boleh dikumpul dan digandakan.” Malah dalam kehidupan seharian, adalah mudah untuk menganggap bahawa kualiti seperti kebaikan adalah samar-samar dan tidak nyata, jika berbanding dengan keutamaan hidup kita yang lain. Tetapi, seperti ajaran rasul Paulus, kualiti-kualiti seperti ini yang paling penting.

Dalam suratnya kepada orang yang baru percaya, Paulus menegaskan bahawa tujuan hidup orang yang percaya kepada Yesus ialah transformasi melalui Roh, yakni menjadi anggota tubuh Kristus yang matang (Efesus 4:15). Justeru, setiap perkataan dan perlakuan hanya mempunyai nilai jika ia membina dan membawa berkat kepada orang lain (ayat 29). Transformasi dalam Yesus hanya boleh berlaku dengan mengutamakan kebaikan, belas kasihan dan pengampunan (ayat 32) setiap hari.

Apabila Roh Kudus membawa kita berhubung dengan orang percaya yang lain, kita bertumbuh dan menjadi matang apabila kita belajar daripada satu sama lain.