Pada tahun 1951, doktor Joseph Stalin menasihatkannya untuk mengurangkan beban kerja bagi menjaga kesihatannya. Joseph Stalin, iaitu pemerintah Kesatuan Soviet menuduh doktor tersebut sebagai pengintip dan memerintah dia ditahan. Diktator itu yang telah menindas orang ramai dengan kebohongan tidak dapat menerima kebenaran, dan—seperti yang telah dilakukannya berulang kali—dia menyingkirkan orang yang menyampaikan kebenaran kepadanya. Bagaimanapun, kemenangan berpihak kepada kebenaran. Stalin meninggal pada tahun 1953.

Nabi Yeremia telah ditahan dan dirantai kerana dia menyampaikan nubuat yang mengerikan (Yeremia 38:1-6; 40:1) Dia memberitahu raja Yehuda apa yang akan berlaku kepada Yerusalem. “Patuhilah TUHAN dalam hal yang kusampaikan kepadamu,” katanya kepada Raja Zedekia (38:20). Kegagalan untuk menyerah diri kepada tentera yang telah mengepung kotanya hanya akan memburukkan keadaan. “Semua isterimu dan anakmu akan digiring keluar ke hadapan orang Kasdim,” Yeremia memberi amaran. “Engkau sendiri tidak akan terselamat daripada tangan mereka” (ayat 23).

Raja Zedekia tidak mahu menerima kebenaran tersebut. Akhirnya orang Kasdim menangkap dia, membunuh semua anak lelakinya, dan membakar kota tersebut (fasal 39).

Setiap manusia sedikit banyak menghadapi dilema seperti Zedekia. Kita terperangkap dalam kehidupan kita sendiri yang berdosa dan pilihan yang salah. Kita sering kali memburukkan lagi keadaan dengan mengelakkan mereka yang memberitahu kita perkara sebenar tentang diri kita. Apa yang kita perlu lakukan ialah berserah kepada Yesus yang berkata, “Akulah jalan, kebenaran dan hidup. Tiada seorang pun datang kepada Bapa kecuali melalui-Ku” (Yohanes 14:6).