Apabila Elaine didiagnosis menghidap kanser tahap akhir, dia dan suaminya, Chuck, tahu bahawa tidak lama lagi dia akan bersama dengan Yesus. Mereka berdua telah berpegang pada janji Tuhan dalam Mazmur 23 bahawa Tuhan akan menyertai mereka apabila mereka melangkah di lembah yang dalam dan paling sukar dalam 54 tahun mereka bersama. Mereka memegang harapan bahawa Elaine telah bersedia untuk bertemu Yesus, sejak dia percaya kepada-Nya berdekad-dekad yang lalu.

Pada upacara peringatan isterinya, Chuck berkongsi bahawa dia masih mengembara “di lembah bayangan maut” (Mazmur 23:4). Hidup isterinya di syurga telah bermula. Tetapi “bayangan maut” masih bersamanya dan orang lain yang sangat menyayangi Elaine.

Ketika kita mengembara melalui lembah bayangan, di manakah kita boleh mencari sumber cahaya kita? Rasul Yohanes mengisytiharkan bahawa “Allah itu cahaya; dan sama sekali tiada kegelapan dalam-Nya” (1 Yohanes 1:5). Dalam Yohanes 8:12, Yesus berkata: “Akulah cahaya dunia. Orang yang mengikut-Ku tidak akan berjalan dalam kegelapan tetapi akan mempunyai cahaya hidup.”

Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, kita “melangkah … dalam cahaya wajah-[Nya]” (Mazmur 89:15). Tuhan kita telah berjanji untuk menyertai kita dan menjadi sumber cahaya kita walaupun ketika kita melalui lembah bayangan yang gelap.