“Kamu bukan seperti yang saya sangkakan. Saya fikir saya akan membenci kamu, tapi tidak.” Kata-kata orang muda itu kedengaran kasar, tetapi sebenarnya ini ialah usahanya untuk bersikap baik. Saya pernah belajar di negara orang muda itu, iaitu negara yang berdekad-dekad sebelumnya telah berperang dengan tanah air saya. Kami berdua mengikuti perbincangan secara kumpulan di dalam kelas, dan saya perasan dia bersikap dingin terhadap saya. Apabila saya bertanya sama ada saya telah menyinggung perasaannya, dia menjawab, “Sebenarnya tidak sama sekali … ini sebab datuk saya telah terbunuh dalam peperangan tersebut, maka saya membenci bangsa dan negara kamu. Tetapi sekarang saya melihat kita mempunyai banyak persamaan, dan itu mengejutkan saya. Tiada alasan mengapa kita tidak boleh menjadi kawan.”
Prasangka ialah perkara yang sudah lama berlaku dalam kalangan umat manusia. Lebih daripada dua ribu tahun yang lalu, apabila Natanael pertama kali mendengar tentang Yesus yang tinggal di Nazaret, prejudisnya amat jelas: Mungkinkah sesuatu yang baik datang dari Nazaret?” dia bertanya (Yohanes 1:46). Natanael tinggal di wilayah Galilea, seperti Yesus. Dia mungkin berpendapat bahawa Mesias Tuhan akan datang dari tempat lain, bahkan orang Galilea yang lain memandang rendah akan Nazaret kerana tempat ini kelihatan sebuah kampung kecil yang biasa.
Ini jelas kelihatan. Respons Natanael tidak menghalang Yesus mengasihinya, dan dia telah berubah apabila dia menjadi murid Yesus. “Rabbi, Engkau Anak Allah!” Natanael kemudiannya berseru (ayat 49). Tiada prasangka yang dapat menyangkal kasih Tuhan yang membawa perubahan.