Semasa pandemik COVID-19, Dave dan Carla menghabiskan berbulan-bulan lamanya untuk mencari gereja, keluarga rohani yang sesuai untuk mereka. Namun peraturan kesihatan yang mengehadkan jumlah orang yang boleh berinteraksi menjadikan pencarian mereka sangat sukar. Mereka rindu untuk bersekutu dengan orang Kristian yang lain. “Waktu ini sangat sukar untuk mencari gereja,” Carla menuliskan masalah ini dalam e-melnya kepada saya. Timbullah perasaan rindu dalam diri saya untuk berkumpul semula dengan keluarga gereja saya. “Ia merupakan masa yang sukar untuk menjadi gereja,” saya membalasnya. Pada musim itu, gereja kami telah mengalami “pusingan” besar. Kami memberi makanan di sekitar kawasan kejiranan, mewujudkan perkhidmatan gereja dalam talian, dan menelefon setiap anggota jemaah dengan sokongan dan doa. Saya dan suami saya turut mengambil bahagian dan ingin tahu apa lagi yang kami dapat lakukan untuk “menjadi gereja” di dunia kita yang sudah berubah.
Dalam Ibrani 10:25, penulis menyeru pembaca supaya jangan berhenti daripada “berhimpun, seperti yang dilakukan oleh setengah-setengah orang. Nasihatilah sesama sendiri.” Mungkin disebabkan penderitaan (ayat 32-34) atau mungkin akibat daripada “berasa bosan dan tawar hati” (12:3), orang percaya pada awal tahun yang mengalami pergelutan memerlukan dorongan untuk terus menjadi gereja.
Pada hari ini, saya juga memerlukan dorongan. Bagaimanakah dengan anda? Apabila keadaan mengubah cara kita untuk bersekutu sebagai gereja, adakah kita akan terus menjadi gereja? Marilah kita mendorong antara satu sama lain dan saling membina dengan kreatif sepertimana Tuhan memimpin kita. Kita boleh saling berkongsi sumber yang ada, mesej sokongan, sering berkumpul bersama-sama, dan saling berdoa. Marilah kita menjadi gereja.