Semasa saya masih kecil, saya mengumpul setem pos. Apabila angkong saya (bahasa Fukien untuk “datuk”) mendengar tentang hobi saya, dia mula mengumpul setem dari surat-surat di pejabatnya setiap hari. Setiap kali saya melawat datuk dan nenek saya, Angkong akan memberi saya satu sampul yang penuh dengan pelbagai setem cantik. “Walaupun saya sentiasa sibuk, saya tidak akan melupakan kamu,” katanya.

Angkong tidak menunjukkan kasih secara terang-terangan, tetapi saya merasai kasihnya yang mendalam. Dengan cara yang lebih mendalam, Tuhan menunjukkan kasih-Nya terhadap Israel apabila Dia menyatakan, “Aku tidak akan melupakan engkau!” (Yesaya 49:15). Oleh sebab dahulunya umat Tuhan menyembah berhala dan tidak mentaati Dia, mereka dibuang ke Babilon dan mengalami penderitaan, mereka meratap, “Tuhan telah melupakan aku” (ayat 14). Tetapi kasih Tuhan kepada umat-Nya tidak berubah. Dia menjanjikan mereka pengampunan dan pemulihan (ayat 8-13).

“Aku telah melukiskan engkau di telapak tangan-Ku,” Tuhan memberitahu Israel, sepertimana Dia juga menyatakan kepada kita pada hari ini (ayat 16). Ketika saya merenung ayat yang memberi kepastian ini, ia mengingatkan saya akan bekas paku pada tangan Yesus, yang dihulurkan dalam kasih untuk kita dan keselamatan kita (Yohanes 20:24-27). Seperti setem yang dikumpulkan oleh datuk saya dan kata-katanya yang lembut, Tuhan menghulurkan tangan-Nya dan pengampunan sebagai tanda kasih-Nya yang abadi. Marilah kita bersyukur atas kasih-Nya—kasih yang tidak berubah. Dia tidak akan melupakan kita.