Ellen sedang ikat perut, jadi dia sangat bersyukur apabila menerima bonus Krismas. Ini sememangnya sudah memadai, tetapi apabila dia membuat deposit wang tersebut, dia mendapat satu lagi kejutan. Juruwang itu berkata bahawa sebagai hadiah Krismas, bank telah memasukkan pembayaran cagaran bagi bulan Januari ke dalam akaunnya. Sekarang dia dan suaminya, Trey dapat membayar bil-bil yang lain dan memberkati seseorang dengan satu kejutan Krismas!

Tuhan mempunyai cara untuk memberkati kita lebih daripada apa yang kita jangkakan. Naomi mengalami kepahitan dan hancur hati kerana kematian suami dan anak-anak lelakinya (Rut 1:20-21). Keadaannya yang terdesak telah diselamatkan oleh Boas, seorang saudara yang mengahwini menantu perempuannya Rut dan menyediakan tempat kediaman untuk dia dan Naomi (4:10).

Mungkin itu sahaja yang diharapkan oleh Naomi. Namun kemudian Tuhan memberkati Rut dan Boas dengan seorang anak lelaki. Sekarang Naomi mempunyai seorang cucu untuk “menyegarkan jiwa[nya] dan memelihara[nya] pada hari tua[nya]” (ayat 15). Itu mungkin telah mencukupi. Sepertimana para wanita di Betlehem berkata, “seorang putera telah dilahirkan” (ayat 17). Kemudian Obed membesar—dan menjadi “bapa Isai, iaitu bapa Daud” (ayat 17). Keluarga Naomi tergolong dalam keturunan diraja Israel, dinasti yang paling penting dalam sejarah! Itu mungkin sudah mencukupi. Bagaimanapun, Daud juga merupakan moyang kepada … Yesus.

Jika kita percaya kepada Kristus, kita berada dalam situasi yang sama dengan Naomi. Kita tidak mempunyai apa-apa sehingga Dia menebus kita. Kini kita diterima sepenuhnya oleh Bapa, yang memberkati kita untuk memberkati orang lain. Itu lebih daripada cukupnya.