Ketika berada di taman tema air dengan beberapa kawan, kami cuba mengharungi laluan berhalangan terapung yang diperbuat daripada platform yang diisi dengan udara. Platform yang melantun dan licin itu menyukarkan kami untuk berjalan lurus. Ketika kami berjalan dalam keadaan yang tidak stabil melintasi tanjakan, tebing dan jambatan, kami menjerit ketika kami terjatuh ke dalam air. Selepas menyelesaikan satu pusingan rintangan, kawan saya yang benar-benar keletihan, menyandar pada salah satu “menara” untuk menarik nafas. Namun dengan segera menara tersebut menjadi bengkok kerana berat badannya, akibatnya dia meluncur ke dalam air.

Tidak seperti menara-menara yang tidak kukuh di taman tema air, menara pada zaman Alkitab merupakan benteng yang kuat untuk memberi pertahanan dan perlindungan. Hakim-Hakim 9:50-51 menjelaskan bagaimana orang Tebes melarikan diri ke “sebuah menara yang kuat” untuk berselindung daripada serangan Abimelekh ke atas kota mereka. Dalam Amsal 18:10, penulis menggunakan gambaran sebuah menara yang kuat untuk menunjukkan siapa itu Tuhan— Dia yang menyelamatkan mereka yang percaya kepada-Nya.

Bagaimanapun, kadangkala- apabila kita letih atau tertekan, kita cenderung mencari keselamatan dan sokongan melalui perkara lain—kerjaya, hubungan, atau keselesaan fizikal, bukannya bersandar pada menara Tuhan kita yang kuat. Kita tiada bezanya dengan orang kaya yang mencari kekuatan dalam kekayaannya (Amsal 18:11). Namun seperti menara kembung itu yang tidak dapat menyokong kawan saya, hal-hal seperti ini tidak dapat memberi apa yang kita benar-benar perlukan. Tuhan Yang Maha Kuasa mengawal semua situasi, Dia memberi ketenangan dan rasa selamat yang sebenar.