Anne membesar dalam kemiskinan dan suasana yang penuh kepahitan. Dua daripada adik-beradiknya mati ketika masih bayi. Pada umur 5 tahun, dia telah menghidap penyakit mata yang menyebabkannya separuh buta dan tidak dapat membaca serta menulis. Apabila Anne berusia 8 tahun, ibunya mati disebabkan penyakit tibi. Tidak lama kemudian, bapanya yang mendera mereka meninggalkan tiga orang anaknya yang masih hidup. Adik bongsunya dihantar untuk tinggal bersama saudara-mara, tetapi Anne dan adik lelakinya, Jimmie, dihantar ke Tewksbury Almshouse, sebuah pusat jagaan yang usang dan penuh sesak. Beberapa bulan kemudian, Jimmie meninggal.
Pada usia 14 tahun, situasi Anne mula bertambah baik. Dia dihantar ke sebuah sekolah untuk orang buta, yang dia menjalani pembedahan untuk memperbaiki penglihatannya serta belajar membaca dan menulis. Walaupun dia bergelut untuk menyesuaikan diri, dia cemerlang dalam akademik dan memberi ucapan sebagai wakil graduan pada tahun itu. Hari ini kita lebih mengenali dia sebagai Anne Sullivan, guru dan rakan Helen Keller. Melalui usaha, kesabaran dan kasih, Anne mengajar Helen yang buta dan pekak membaca tulisan Braille, dan menamatkan pelajaran di universiti.
Yusuf juga perlu mengatasi cabaran yang besar: pada umur 17 tahun, dia dijual menjadi hamba oleh abang-abangnya yang cemburu dan kemudian dipenjarakan kerana difitnah (Kejadian 37; 39-41). Namun Tuhan telah memakainya untuk menyelamatkan Mesir dan keluarganya daripada kebuluran (50:20).
Setiap kita menghadapi cabaran dan masalah. Tetapi sepertimana Tuhan telah menolong Yusuf dan Anne mengatasi cabaran mereka dan memberi impak yang besar dalam kehidupan orang lain, Dia juga boleh menolong dan memakai kita. Mari kita mencari pertolongan dan panduan Tuhan. Dia melihat dan mendengar permohonan kita.