David dan Angie berasa terpanggil untuk berpindah dan melayani di luar negara, hasil pelayanan mereka yang berbuah seolah-olah mengesahkan panggilan ini. Tetapi ada satu hal yang sukar bagi mereka. Ibu bapa David yang sudah berusia lanjut kini akan menghabiskan Krismas yang berikutnya tanpa mereka.
David dan Angie cuba mengurangkan kesepian ibu bapanya pada hari Krismas dengan mengepos hadiah lebih awal dan menelefon mereka pada pagi Krismas. Tetapi apa yang ibu bapanya mahukan ialah kehadiran mereka. Pendapatan David hanya mampu menampung biaya perjalanan untuk pulang sekali-sekala, apakah lagi yang dapat dilakukan mereka? David memohon hikmat daripada Tuhan.
Amsal 3 seumpama suatu “kursus kilat” yang mengajar tentang hikmat, menunjukkan kita caranya untuk menerima hikmat dengan menyerahkan situasi kita kepada Tuhan (ayat 5-6), menggambarkan kepelbagaian kualitinya seperti kasih dan kesetiaan (ayat 3-4, 7-12), dan faedahnya seperti kesejahteraan dan panjang umur (ayat 13-18). Penulis turut menambahkan nota yang menyentuh hati, bahawa Tuhan memberi hikmat kepada “orang yang tulus ikhlas” (ayat 32). Dia membisikkan jalan penyelesaian ini kepada orang yang akrab dengan-Nya.
Pada suatu malam, ketika mereka sedang berdoa tentang masalahnya, David mendapat satu idea. Pada hari Krismas yang berikutnya, dia dan Angie memakai pakaian yang terbaik, menghiasi meja dengan perada, dan menyediakan makan malam dengan masakan ayam panggang. Ibu bapa David juga melakukan perkara yang sama. Kemudian, mereka meletakkan komputer riba di atas meja masing-masing dan makan bersama melalui pautan video. Cara ini terasa seperti mereka berada di dalam bilik yang sama. Sejak itu, ini pun menjadi tradisi keluarga mereka.
Tuhan berbicara kepada David dengan akrab dan memberi dia hikmat. Dia suka membisikkan jalan penyelesaian yang kreatif untuk masalah kita.