Kayu salib kepunyaan ibu saya yang berwarna merah dan berkilat sepatutnya digantungkan bersebelahan dengan katilnya di pusat penjagaan kanser. Saya juga sepatutnya membuat persiapan untuk melawatnya sewaktu dia dijadualkan untuk rawatan. Keinginan terbesar saya pada musim Krismas ialah meluangkan masa untuk bersama dengan ibu. Sebaliknya, saya berada di rumah … menggantung salib tersebut pada sepohon pokok palsu.
Apabila anak lelaki saya Xavier memasangkan lampu perhiasan pada pokok Krismas, saya berbisik, “Terima kasih.” Dia menjawab, “Sama-sama.” Anak saya tidak mengetahui bahawa saya sebenarnya mengucapkan terima kasih kepada Tuhan kerana menggunakan mentol yang berkelip-kelip sebagai sarana untuk mengalih perhatian saya kepada Cahaya Harapan yang kekal—Yesus.
Penulis Mazmur 42 meluahkan emosinya yang terdalam kepada Tuhan (ayat 1-4). Dia mengakui “nestapa” dan jiwanya yang “resah gelisah” sebelum menggalakkan pembaca: “Berharaplah kepada Allah, kerana aku akan memuji-Nya, Penyelamatku” (ayat 5). Walaupun dia dikuasai oleh ombak kesedihan dan penderitaan, harapan pemazmur bersinar apabila dia mengenangkan kesetiaan Tuhan pada masa lalu (ayat 6-10). Dia mengakhiri dengan mempersoalkan keraguannya dan menegaskan keteguhan imannya yang murni: “Mengapa kau nestapa, wahai jiwaku? Mengapa kau resah gelisah? Berharaplah kepada Allah, kerana aku akan memuji-Nya, Penyelamatku dan Allahku” (ayat 11).
Bagi kebanyakan kita, musim Krismas mengundang kegembiraan dan kesedihan. Kita bersyukur kerana kita didamaikan dan ditebus melalui perjanjian oleh Cahaya Harapan yang benar—Yesus.