Saya tidak pasti siapa yang bertanggungjawab untuk memadamkan lampu dan mengunci pintu gereja, selepas ibadah kami selesai pada pagi Ahad, tetapi satu perkara yang saya tahu tentang orang tersebut: dia akan lewat untuk makan malam pada hari Ahad. Ini disebabkan selepas kebaktian Ahad, ramai jemaah suka duduk bersama dan saling berkongsi tentang pilihan-pilihan dalam hidup, isu hati, pergelutan dan banyak lagi. Betapa menyenangkan hati apabila melihat masih ramai yang belum beredar dan menikmati masa bersama walaupun ibadah sudah selesai 20 minit yang lalu.

Persekutuan adalah satu komponen utama dalam kehidupan orang yang serupa dengan Kristus. Tanpa jalinan hubungan yang wujud daripada meluangkan masa bersama dengan rakan-rakan seiman, kita akan terlepas banyak kebaikan untuk menjadi orang yang percaya kepada Yesus.

Sebagai contoh, Paulus berkata kita perlu “saling menggalakkan dan meneguhkan” (1 Tesalonika 5:11). Penulis Ibrani juga bersependapat, menggesa kita supaya jangan berhenti daripada berhimpun, kerana kita perlu “nasihatilah sesama sendiri” (10:25). Penulis juga mengatakan bahawa apabila kita bersama, kita “saling perhatikan satu sama lain untuk menimbulkan kasih dan perbuatan yang baik” (ayat 24).

Sebagai orang yang mengabdikan diri kepada Yesus, kita mempersiapkan diri untuk setia melakukan pelayanan seperti “tolong orang yang lemah, dan bersabar terhadap semua” (1 Tesalonika 5:14). Apabila kita menjalani kehidupan dengan cara seperti ini, dan disertai dengan pertolongan-Nya, kita akan menikmati persekutuan yang sebenar serta “saling berbuat baik dan menolong semua orang” (ayat 15, TMV).