“Jika kamu menjumpai bintang itu, kamu akan sentiasa dapat menemui jalan pulang.” Itulah kata-kata bapa saya apabila dia mengajar saya bagaimana untuk mencari Bintang Utara semasa saya masih kecil. Ayah telah berkhidmat dalam angkatan bersenjata semasa perang, dan ada masanya hidupnya bergantung pada kemampuan untuk mencari arah pada waktu malam. Oleh demikian, dia memastikan saya mengenali nama dan lokasi beberapa buruj bintang, tetapi apa yang paling penting ialah mencari bintang Polaris. Dengan mengetahui lokasi bintang, ini bermakna saya dapat mengetahui arah tuju di mana sahaja saya berada, dan mencari lokasi di mana saya sepatutnya berada.

Alkitab menceritakan tentang sebutir bintang yang sangat penting. “Beberapa orang ahli ilmu bintang dari timur,” iaitu orang-orang berilmu (dari kawasan yang merangkumi Iran dan Iraq hari ini) telah melihat tanda-tanda di langit tentang kelahiran Yesus yang akan menjadi Raja bagi umat-Nya. Mereka datang ke Yerusalem dan bertanya, “Di manakah Anak yang baru lahir, yang akan menjadi Raja orang Yahudi? Kami melihat bintang-Nya muncul di Timur, dan kami datang hendak menyembah-Nya” (Matius 2:1-2).

Ahli astronomi tidak mengetahui apa yang menyebabkan bintang muncul di Betlehem, tetapi Alkitab mendedahkan bahawa Tuhan menciptanya untuk memperkenalkan Yesus kepada dunia—“bintang fajar yang bersinar” (Wahyu 22:16). Kristus datang untuk menyelamatkan kita daripada dosa dan memimpin kita kembali kepada Tuhan. Ikutlah pimpinan-Nya dan anda akan menemui jalan pulang.