Selepas menikmati hari Krismas yang penuh kegembiraan, hari berikutnya saya pula berasa kecewa. Kami telah bermalam di rumah kawan tetapi tidak dapat tidur lena. Selepas itu, kereta kami rosak semasa dalam perjalanan pulang. Kemudian salji mula turun. Kami harus meninggalkan kereta kami di tepi jalan dan menaiki teksi untuk pulang dalam cuaca yang bersalji dan perasaan yang sungguh buruk.
Bukan kami sahaja yang berasa murung selepas hari Krismas. Musim untuk menikmati pelbagai jenis hidangan Krismas sudah berlalu, lagu Krismas tiba-tiba tidak kedengaran lagi dari radio, harga hadiah yang dibeli pada minggu lalu sekarang dalam jualan separuh harga, keajaiban Hari Krismas boleh hilang dalam sekelip mata!
Alkitab tidak pernah memberitahu kita tentang hari selepas kelahiran Yesus. Tetapi kita dapat membayangkan bahawa selepas Yusuf dan Maria berjalan ke Betlehem, mendapatkan tempat penginapan dengan bersusah payah, malah Maria mengalami kesakitan ketika melahirkan anak, dan kedatangan gembala-gembala tanpa pemberitahuan (Lukas 2:4-18), Maria dan Yusuf sungguh letih. Namun ketika Maria mendukung bayinya yang baru lahir, saya dapat membayangkan dia akan merenungkan kata-kata malaikat yang datang kepadanya dan memberitahunya tentang kelahiran Yesus (1:30-33), berkat Elisabet (ayat 42-45), dan kesedaran akan tujuan hidup anaknya yang sudah ditentukan Tuhan (ayat 46-55). Maria “menyimpan” perkara ini dalam hatinya (2:19), yang pasti telah meringankan kelesuan dan kesakitan fizikal pada hari tersebut.
Setiap kita mempunyai hari yang kecewa, mungkin juga hari selepas Krismas. Seperti Maria, marilah menghadapi keadaan ini dengan merenungkan Yesus yang telah datang ke dunia, yang menyinari setiap keadaan kita dengan kehadiran-Nya.