Di sebuah kem pelarian di Timur Tengah, apabila Reza menerima sebuah Alkitab, dia mengenal dan percaya kepada Yesus. Doa pertamanya dalam nama Kristus ialah, “Pakailah saya sebagai pekerja-Mu.” Kemudian, selepas dia meninggalkan kem tersebut, Tuhan menjawab doa itu dengan cara di luar jangkaannya, dia telah mendapat satu pekerjaan dengan sebuah agensi bantuan bencana. Dia kembali ke kem itu untuk melayani orang yang dikenali dan dikasihinya. Dia menubuhkan kelab sukan, kelas bahasa, dan nasihat undang-undang—“apa sahaja yang memberi orang pengharapan.” Dia melihat program-program ini sebagai satu cara untuk melayani orang lain serta berkongsi hikmat dan kasih Tuhan.
Apabila dia sedang membaca Alkitab, Reza terus dapat merasakan satu ikatan dengan cerita Yusuf dalam Kejadian. Dia menyedari bahawa Tuhan meneruskan pekerjaan-Nya melalui Yusuf semasa Yusuf berada di penjara. Oleh sebab Tuhan menyertai Yusuf, Dia menunjukkan kasih-Nya dan memberi hikmat kepadanya. Ketua penjara menyerahkan pengawasan semua tahanan kepada Yusuf dan tidak perlu lagi untuk mengurus segala sesuatu yang sudah dijalankan oleh Yusuf, kerana Tuhan menyertainya dan Tuhan membuat “apa yang dikerjakannya berhasil” (Kejadian 39:23).
Tuhan juga berjanji untuk menyertai kita. Sama ada kita menghadapi pemenjaraan—secara sebenar atau kiasan—kesusahan, perpindahan, kekecewaan, atau kedukaan, kita boleh percaya bahawa Tuhan tidak akan meninggalkan kita. Sepertimana Tuhan membolehkan Reza untuk melayani mereka yang berada di kem dan Yusuf yang mengawasi penjara, Dia akan sentiasa berada dekat dengan kita.