Isteri saya, Miska, mempunyai kalung dan anting-anting gelung dari Ethiopia. Keanggunan yang sederhana dalam barang-barang kemas tersebut mendedahkan kesenian yang tulen. Walau bagaimanapun, apa yang paling mengejutkan tentang barang-barang kemas ini ialah kisah di belakangnya. Disebabkan konflik sengit selama berdekad-dekad dan perang saudara yang berterusan, geografi Ethiopia dipenuhi dengan peluru meriam dan bekas penyimpan peluru. Sebagai tindakan untuk mencari harapan, rakyat Ethiopia telah menjelajahi bumi mereka yang dibakar, dan membersihkan sisa-sisa peperangan. Kemudian, para tukang barang kemas telah menghasilkan barang kemas daripada sisa serpihan perisai dan bekas penyimpan peluru.
Apabila saya mendengar cerita ini, saya seolah-olah mendengar gema suara nabi Mikha yang dengan berani melaungkan janji Tuhan. Pada suatu masa, nabi mengumumkan bahawa orang ramai akan “menempa pedang mereka menjadi mata bajak, dan tombak mereka menjadi pisau pemangkas” (4:3). Dengan kuasa Tuhan, alat-alat yang digunakan untuk membunuh dan memusnahkan akan diubah menjadi alat yang digunakan untuk membangun kehidupan. Dia menegaskan, pada hari kedatangan Tuhan, “Bangsa tidak akan lagi mengangkat pedang terhadap bangsa, dan mereka tidak akan lagi belajar ilmu peperangan” (ayat 3).
Pernyataan nabi Mikha tidaklah sukar untuk dibayangkan pada zamannya berbanding dengan zaman kita. Seperti Israel pada zaman dahulu, kita menghadapi keganasan dan peperangan, dan ini kelihatan mustahil bahawa dunia kita akan berubah. Namun begitu, Tuhan telah berjanji kepada kita bahawa dengan rahmat dan penyembuhan yang daripada-Nya, hari yang menakjubkan ini akan tiba pada akhirnya. Perkara yang kita perlu lakukan adalah untuk mula percaya akan kebenaran ini. Tuhan menolong kita melaksanakan pekerjaan-Nya walaupun pada waktu ini, dengan mengubah serpihan menjadi sesuatu yang indah.