Ketika Kristin mahu membeli sebuah buku yang istimewa untuk Xio-Hu, iaitu suaminya yang berbangsa Cina, satu-satunya buku bahasa Cina yang ditemuinya ialah Alkitab. Meskipun kedua-dua mereka bukan orang Kristian, dia berharap suaminya akan menghargai pemberiannya itu. Xio-Hu marah ketika melihat Alkitab itu pada pertama kalinya, tetapi akhirnya dia menerimanya juga. Ketika membacanya, dia diyakinkan oleh kebenaran yang terdapat dalam halaman-halaman yang dibacanya. Oleh sebab Kristin tidak gembira akan perubahan suaminya yang tidak dijangka itu, maka dia mula membaca Alkitab dengan alasan mahu menyangkal Xio-Hu. Apa yang mengejutkannya, dia juga menjadi seorang yang percaya kepada Yesus melalui apa yang telah dibacanya.

Rasul Paulus mengetahui tentang kuasa firman Tuhan yang boleh mengubahkan seseorang. Ketika Paulus menulis dari penjara di Roma, dia mendorong anak didiknya, Timotius, “supaya terus berpegang kepada segala yang telah kamu pelajari” kerana “sejak kecil kamu telah mengenal Kitab Suci” (2 Timotius 3:14–15). Dalam bahasa Yunani, iaitu bahasa aslinya, perkataan “terus” juga bermaksud “tinggal” di dalam kebenaran yang diungkapkan oleh Alkitab. Oleh sebab Paulus tahu bahawa Timotius akan menghadapi tentangan dan penganiayaan, Paulus menasihiti dia supaya dilengkapkan bagi menghadapi cabaran-cabaran tersebut; Paulus percaya bahawa Timotius akan mendapat kekuatan dan hikmat di dalam Alkitab ketika dia meluangkan masa merenung kebenarannya.

Tuhan menjadikan firman-Nya hidup di dalam kita melalui Roh Kudusnya. Apabila kita tinggal di dalamnya, Dia mengubah kita untuk menjadi serupa dengan Dia, seperti yang dilakukannya terhadap Xio-Hu dan Kristin.