Sepanjang tujuh puluh tahun pemerintahan bersejarah Ratu Elizabeth II sebagai pemerintah Britain, dia hanya mengesahkan satu biografi tentang hidupnya dengan menuliskan sebuah kata pengantar peribadi, iaitu Ratu yang Berjiwa Hamba dan Raja yang Dilayaninya. Dilancarkan sempena hari ulang tahunnya yang ke-90, buku itu menggambarkan bagaimana kepercayaan kepada Tuhan telah memimpin baginda berkhidmat untuk negaranya sepanjang tahun-tahun itu. Dalam pembuka katanya, Ratu Elizabeth mengucapkan kesyukuran bagi semua orang yang berdoa untuknya, dan baginda berterima kasih kepada Tuhan kerana kasih setia-Nya. Dia menyimpulkan, ‘Saya sesungguhnya telah melihat kesetiaan-Nya.”

Kenyataan ringkas Ratu Elizabeth itu menggemakan kesaksian setiap lelaki dan wanita di sepanjang zaman yang mereka sendiri telah mengalami penjagaan Tuhan yang setia dalam kehidupan mereka. Tema inilah yang mendasari lagu indah yang ditulis oleh Raja Daud semasa dia merenung kehidupannya. Lagu ini boleh dibaca dalam 2 Samuel 22, yang berkisah tentang perlindungan Tuhan yang setia terhadap Daud, memenuhi keperluannya, bahkan menyelamatkannya ketika nyawanya berada dalam bahaya (ayat 3–4, 44). Sebagai tindak balas kepada pengalamannya tentang kesetiaan Tuhan, Daud menulis, “aku akan melantunkan puji-pujian atas nama-Mu” (ayat 50).

Walaupun segalanya bertambah indah apabila kesetiaan Tuhan dilihat sepanjang hayat kita yang panjang, sebenarnya kita boleh menceritakan penjagaan-Nya dalam hidup kita sekarang juga. Apabila kita menyedari bahawa bukan kebolehan kita sendiri yang membawa kita melalui jatuh bangun dalam kehidupan, tetapi penjagaan setia Bapa yang pengasih, kita tersentuh untuk bersyukur dan memuji nama-Nya.