Akibat Perang Saudara Amerika yang menyebarkan banyak perasaan pahit, Abraham Lincoln berasa dia patut bercakap sesuatu yang baik tentang tentera-tentera musuh di negeri-negeri Selatan. Seseorang berasa terkejut dan bertanya bagaimana dia boleh berbuat demikian. Dia menjawab, “Puan, bukankah saya membinasakan musuh saya apabila saya menjadikan mereka kawan saya?” Selepas satu abad kemudian, ketika merenungkan kata-kata Lincoln itu, Martin Luther King Jr. mengulas, “Ini merupakan kuasa cinta yang mampu membawa penebusan.”

Dengan memetik ajaran-ajaran Yesus, King memanggil orang Kristian mengasihi musuh mereka. Dia sedar bahawa walaupun orang percaya mungkin bergelut untuk mengasihi orang yang menganiaya mereka, kasih ini hasil daripada “penyerahan yang konsisten dan menyeluruh kepada Tuhan.” “Apabila kita mengasihi dengan cara ini,” King meneruskan, “kita akan mengenali Tuhan dan mengalami keindahan dalam kekudusan-Nya.”

King juga merujuk Khutbah Yesus di atas Bukit, “Kasihilah musuhmu dan doakan orang yang menganiayamu. Dengan demikian kamu menjadi anak-anak Bapamu yang di syurga” (Matius 5:44-45). Nasihat Yesus bertentangan dengan ajaran hikmat yang lazim pada masa itu, bahawa kita hanya perlu mengasihi sesama manusia dan membenci musuh. Sebaliknya, Tuhan Bapa memberikan kekuatan kepada anak-anak-Nya untuk mengasihi orang yang menentang mereka.

Mungkin kita terasa mustahil untuk mengasihi musuh kita, tetapi apabila kita memohon pertolongan Tuhan, Dia akan menjawab doa kita. Dia memberi kita keberanian untuk mentaati nasihat yang melebihi pengertian kita, kerana Yesus telah berkata, “ bagi Allah tidak ada satu pun yang mustahil” (19:26).