Warna merah tidak selalu terhasil secara semula jadi. Bagaimanakah anda meletakkan warna terang seperti warna sebiji epal ke dalam baju-T atau gincu? Pada zaman dahulu, pigmen merah dibuat daripada tanah liat atau batu merah. Pada tahun 1400-an, kaum Aztec mereka cara untuk membuat pewarna merah melalui sejenis kumbang yang bernama “cochineal”. Pada hari ini, dunia ini masih memperoleh warna merah melalui serangga kecil ini.

Dalam Alkitab, merah melambangkan kerabat diraja, dan ia juga menandakan dosa dan rasa malu. Tambahan pula, ia adalah warna darah. Apabila askar “menanggalkan pakaian Yesus lalu memakaikan jubah merah ungu pada Dia” (Matius 27:28, TMV), tiga simbol ini bergabung menjadi satu imej merah yang menyayat hati: Yesus diejek sebagai bakal raja, Dia diselubungi dalam kemaluan, dan Dia mengenakan jubah berwarna darah yang akan ditumpahkan-Nya sebentar lagi. Tetapi Yesaya telah menubuatkan janji Tuhan bahawa Yesus akan membebaskan kita daripada merah yang menodai kita: “Sekalipun dosa-dosamu seperti kain merah tua, semuanya akan menjadi putih seperti salji” (1:18).

Satu lagi perkara tentang kumbang “cochineal” yang digunakan untuk membuat pewarna merah—rupa luaran sebenarnya adalah berwarna putih susu. Hanya setelah dihancurkan, barulah darah merah akan keluar. Fakta kecil itu menggemakan kata-kata Yesaya: “[Yesus] dihancurkan oleh sebab segala kesalahan kita” (Yesaya 53:5).

Yesus yang tidak berdosa telah datang untuk menyelamatkan kita yang diwarnai merah dosa. Dia dihancurkan sehingga mati, mengalirkan begitu banyak darah merah supaya anda dan saya boleh menjadi putih seperti salji.