Jim dan Laneeda adalah pasangan kekasih sejak di universiti lagi. Mereka berkahwin dan hidup bahagia selama bertahun-tahun. Kemudian Laneeda mula bertindak pelik, sesat dan lupa janji temu. Dia didiagnosis menghidapi penyakit Alzheimer awal pada usia empat puluh tujuh. Selepas satu dekad menjadi penjaga utama isterinya, Jim dapat berkata, “Alzheimer telah memberi saya peluang untuk mengasihi dan melayani isteri saya dengan cara yang tidak dapat dibayangkan, ketika saya berkata, ‘Saya sudi mengahwinimu’ pada suatu masa dahulu.
Semasa menjelaskan kurnia Roh Kudus, rasul Paulus dengan panjang lebar telah menulis mengenai sifat kasih (1 Korintus 13). Dia membuat perbandingan antara pelayanan yang dilakukan secara rutin dengan pelayanan yang dilakukan melimpah dari hati yang penuh kasih. Percakapan yang amat hebat adalah baik, tulis Paulus, tetapi tanpa kasih, ia seperti bunyi bising yang tidak bermakna (ayat 1). “… kalaupun aku memberikan segala milikku untuk memberi makan kepada orang miskin, atau menyerahkan tubuhku untuk dibakar, tetapi tidak mempunyai kasih, maka aku langsung tidak berguna” (ayat 3). Akhirnya Paulus berkata, “yang paling utama ialah kasih” (ayat 13).
Pemahaman Jim tentang apa itu kasih dan pelayanan semakin mendalam semasa dia menjaga isterinya. Hanya kasih yang mendalam dan berkekalan dapat memberi dia kekuatan untuk menyokong isterinya setiap hari. Yang pentingnya, satu-satunya tempat kita melihat pengorbanan kasih ini dicontohi dengan sempurna adalah dalam kasih Tuhan kepada kita, ketika Dia menghantar Yesus untuk mati bagi dosa-dosa kita (Yohanes 3:16). Tindakan pengorbanan ini yang didorong oleh kasih, telah mengubahkan dunia kita selama-lamanya.