Di sekolah baru saya, yang berdekatan dengan sebuah bandar besar, kaunselor bimbingan melihat saya dengan sekilas pandang sahaja dan meletakkan saya dalam kelas gubahan Inggeris yang paling rendah prestasinya. Saya datang dari sekolah bandar dengan markah ujian yang mengagumkan, gred yang cemerlang, bahkan pernah menerima anugerah daripada pengetua bagi penulisan saya. Bagaimanapun, pintu kepada kelas penulisan “terbaik” di sekolah baru saya sudah tertutup bagi saya, ketika kaunselor memutuskan bahawa saya tidak sesuai atau belum bersedia.
Gereja di Filadelfia kuno sudah pasti memahami penolakan sembarangan seperti itu. Sebagai sebuah gereja yang kecil dan sederhana, kotanya telah mengalami gegaran gempa bumi beberapa tahun yang lalu dan meninggalkan kerosakan yang kekal. Tambahan lagi, mereka menghadapi tentangan Iblis (Wahyu 3:9). Gereja yang tidak dipedulikan seperti itu “tidaklah begitu kuat,” namun, seperti yang dinyatakan oleh Yesus yang telah bangkit, “kamu taat kepada firman-Ku dan tidak sekali-kali menyangkal nama-Ku” (ayat 8). Oleh itu, Tuhan “telah membukakan sebuah pintu untukmu, dan tiada siapa yang dapat menutupnya” (ayat 8). Sesungguhnya, “apabila Dia membuka pintu, tiada siapa yang dapat menutupnya, dan apabila Dia menutupnya, tiada siapa yang dapat membukanya” (ayat 7).
Hal itu juga benar bagi pelayanan kita. Sesetengah pintu tidak terbuka, namun dalam pelayanan penulisan saya, Tuhan benar-benar telah membuka pintu, membenarkan artike-artikel renungan sampai kepada pembaca peringkat global, walaupun kemahiran menulis saya pernah terlepas perhatian. Pintu yang tertutup juga tidak akan menghalang kamu, kerana Yesus berkata, “Akulah pintu” (Yohanes 10:9). Marilah kita memasuki pintu yang dibuka-Nya dan mengikut-Nya.