Apakah rasanya berjalan dengan memakai kasut diraja? Angela Kelly, iaitu anak kepada seorang pekerja dok dan jururawat, tahu perasaan itu. Dia juga merupakan jurusolek rasmi untuk mendiang Ratu Elizabeth selama dua dekad terakhir kehidupan ratu tersebut. Salah satu tanggungjawabnya ialah mencuba kasut baharu bagi ratu yang sudah tua, lalu memakainya dan berjalan di sekitar kawasan istana. Kelly berbuat demikian kerana dia berasa kasihan kepada ratu yang tua, malah kadang-kadang dikehendaki berdiri untuk tempoh yang lama dalam upacara tertentu. Ini kerana mereka mempunyai saiz kasut yang sama, Kelly dapat menghindarkan ratu daripada mengalami ketidakselesaan.

Penjagaan Kelly yang teliti terhadap Ratu Elizabeth membuatkan saya terfikir tentang dorongan hangat Paulus kepada gereja di Kolose (sebuah kawasan di Turki moden): “kamu haruslah bersifat belas kasih, baik budi, rendah hati, lemah lembut dan sabar” (Kolose 3:12). Apabila kehidupan kita “berasas dan terbina dalam-Nya” (2:7), kita menjadi “orang pilihan Allah yang suci dan amat dikasihi-Nya” (3:12). Dia membantu kita melucutkan diri kita “yang lama” dan “mengenakan diri yang baru” (ayat 9–10)—menghidupkan identiti mereka yang mengasihi dan mengampuni orang lain kerana Tuhan telah mengasihi dan mengampuni kita (ayat 13–14).

Di sekeliling kita terdapat orang-orang yang memerlukan kita untuk “berjalan dengan memakai kasut mereka” dan berbelas kasihan terhadap mereka dalam cabaran kehidupan seharian. Apabila kita melakukannya, kita berjalan dengan memakai kasut (atau selipar) seorang raja—Yesus—yang sentiasa berbelas kasihan kepada kita.