Dalam buku Daniel Nayeri yang berjudul, Everything Sad Is Untrue, dia menceritakan kisahnya yang mengganggu perasaan ketika dia, ibu dan kakaknya melarikan diri daripada penganiayaan, lalu dihantar ke kem pelarian, akhirnya tiba dengan selamat di Amerika Syarikat. Sepasang warga emas bersetuju untuk menaja mereka, walaupun mereka tidak mengenali mereka. Bertahun-tahun kemudian, Daniel masih tidak dapat memahaminya. Dia menulis, “Percayakah anda akan hal itu? Mereka melakukannya tanpa mengetahui apa-apa. Mereka tidak pernah berjumpa dengan kami. Jika kami berniat jahat, mereka perlu menanggung akibat. Pasangan tua itu merupakan orang yang amat berani, baik dan rela mengambil risiko”.

Namun Tuhan mahu kita mempunyai tahap keprihatinan seperti itu terhadap orang lain. Dia menyuruh Israel berbuat baik kepada orang asing. “Kasihilah dia seperti dirimu sendiri, kerana kamu pun dahulu pendatang di Tanah Mesir” (Imamat 19:34). Dia mengingatkan orang Kristian yang bukan Yahudi, termasuklah kebanyakan kita, bahawa dahulu kita juga “tanpa Kristus, terasing … daripada perjanjian Allah, tanpa harapan dan tanpa Tuhan di dunia ini” (Efesus 2:12). Oleh itu, Dia memerintahkan kita semua yang merupakan orang asing dahulu, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi, “Janganlah segan menyambut orang yang belum kamu kenal ke rumah” (Ibrani 13:2, TMV).

Kini Daniel yang sudah menjadi dewasa serta telah memiliki keluarganya sendiri memuji Jim dan Jean Dawson, iaitu pasangan tua itu, “merupakan orang Kristian sejati yang sanggup menyambut keluarga pelarian tinggal bersama mereka sehingga mereka dapat mencari rumah sendiri.”

Tuhan mengalu-alukan orang asing dan mendorong kita supaya mengalu-alukan mereka juga.