Semasa saya melalui tempoh masalah emosi dan pergelutan rohani yang berpanjangan akibat keadaan yang sukar dalam kehidupan saya, saya dengan mudah boleh tawar hati untuk pergi ke gereja. (Kadang-kadang saya juga tertanya-tanya, Mengapa saya perlu bersusah payah untuk datang ke gereja?). Namun saya tetap berasa terdorong untuk terus menghadiri ibadah pada setiap hari Ahad.
Walaupun keadaan saya tetap sama selama bertahun-tahun, aktiviti beribadah dan berkumpul dengan orang-orang percaya dalam perlayanan, perjumpaan doa, serta sesi pembelajaran Alkitab, telah memberikan dorongan yang saya perlukan untuk bertahan dan terus berharap. Selain itu, saya bukan sahaja selalu mendengar mesej atau pengajaran firman Tuhan yang membawa sukacita, saya juga mendapat penghiburan, keprihatinan dan pelukan daripada saudara dan saudari yang seiman dalam gereja.
Penulis Ibrani menulis, “Jangan berhenti daripada berhimpun, seperti yang dilakukan oleh setengah-setengah orang. Nasihatilah sesama sendiri” (Ibrani 10:25). Penulis Ibrani tahu bahawa apabila kita menghadapi kesusahan, kita memerlukan sokongan orang lain, dan orang lain juga akan memerlukan sokongan kita. Oleh itu, penulis ini memperingatkan para pembaca untuk “berpegang teguh pada pengakuan harapan kita tanpa berganjak” dan memikirkan bagaimana untuk “saling perhatikan satu sama lain untuk menimbulkan kasih dan perbuatan yang baik” (ayat 23-24). Itulah sebahagian besar tentang ertinya saling memberi dorongan. Oleh sebab itu, Tuhan mengehendaki kita terus berkumpul bersama-sama. Seseorang mungkin memerlukan kasih dan dorongan anda, dan anda mungkin akan terkejut dengan balasan yang anda akan terima.