Bunyi gerudi telah menakutkan Sarah yang berusia lima tahun. Dia melompat keluar dari kerusi doktor gigi dan enggan duduk semula di kerusi tersebut. Doktor gigi tersebut memahami perasaan budak kecil itu dan berkata kepada si ayah, “Ayah, sila duduk kerusi ini.” Jason fikir, doktor itu bertujuan untuk menunjukkan anak perempuannya bahawa betapa mudahnya proses tersebut. Tetapi kemudian doktor gigi tersebut berpaling kepada budak kecil itu dan berkata, “Sekarang, naik dan duduk di pangkuan ayah kamu.” Dalam pelukan bapanya, Sarah menjadi yakin dan tenang, dan doktor gigi tersebut pun dapat meneruskan kerjanya.
Pada hari tersebut, Jason mendapat pengajaran yang berharga tentang kehadiran Bapa Syurgawi yang membawa penghiburan. “Kadang-kadang Tuhan memilih untuk tidak mengambil alih apa yang perlu kita lalui,” katanya. “Tetapi Tuhan menunjukkan kepada saya bahawa ‘Aku akan sentiasa bersama kamu.’ ”
Mazmur 91 bercakap tentang kehadiran dan kuasa Tuhan yang memberi kita kekuatan untuk menghadapi segala pencubaan yang kita lalui. Dengan mengetahui bahawa kita boleh rehat dalam tangan Tuhan yang berkuasa, ini memberi kita penghiburan besar, seperti janji-Nya kepada mereka yang mengasihi Dia: “Dia akan berseru kepada-Ku, dan Aku akan menjawabnya; Aku akan menyertainya ketika dia dalam kesusahan” (ayat 15).
Terdapat banyak cabaran dan dugaan yang kita tidak dapat elakkan dalam kehidupan, dan kita juga tidak dapat dielakkan untuk melalui kesakitan serta penderitaan. Tetapi dengan pertolongan Tuhan, kita mampu menanggung segala krisis dan keadaan kita. Dia akan menguatkan iman kita apabila kita berserah sepenuhnya kepada-Nya.